Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendedahkan kehadiran pemain itu dijangka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ghaddar bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurutnya, Abou Bakr dijangka tiba ke Kota Bharu dalam masa terdekat dan berita mengenai kehadiran pemain tersebut mungkin akan diumumkan oleh penaja utama The Red Warriors (TRW) Tan Sri Annuar Musa nanti.

“Pemilihan Abou Bakr bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia mempunyai kemahiran setanding dengan Ghaddar.

“Saya percaya pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail mempunyai perancangan sendiri untuk membentuk gandingan mantap antara pemain tempatan dengan Abou Bakr di bahagian serangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abou Bakr sedang beraksi bersama Kelab AC Tripoli dalam Liga Lebanon dan mempunyai ketajaman penyudah seperti Ghaddar.

Dalam pada itu, sumber memberitahu nilai perpindahan Ghaddar ke JDT dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.

Katanya, jumlah tersebut bakal menjadi sejarah baharu perpindahan pemain dalam saingan Liga M.

“Apa yang pasti, Ghaddar akan turut menerima bayaran gaji tertinggi dan berlipat kali ganda dengan apa yang diterima ketika bersama TRW,” ujarnya.

Sumber tersebut juga memberitahu, calon import dari Gambia, Sanna Nyassi hampir pasti gagal mendapatkan tempat dalam pasukan TRW walaupun beraksi cemerlang pada aksi persahabatan menentang PKNS FC di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, apa yang pasti pemain berkenaan akan mencuba nasib dengan salah sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang.

“Bagaimanapun, Kafa masih belum membuat keputusan mengenai masa depan seorang lagi penyerang iaitu Alessandro Cellin,” katanya.