ABDUL AZIM MOHD ZABIDI

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) itu menjadi individu terbaharu yang dicalonkan untuk jawatan No.1 badan induk bola sepak itu oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Selain beliau, bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa turut berada dalam senarai yang dikeluarkan selepas tamat tempoh pencalonan pada pukul 5 petang hari ini.

Mereka akan bersaing dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang dinamakan sendiri oleh bekas Presiden, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas meletak jawatan pada 25 Mac lalu.

Abdul Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan perkara itu kerana bukan sahaja melibatkan dirinya dan PBNP tetapi merangkumi suara ahli gabungan lain yang terlibat secara langsung dengan bola sepak negara.

Katanya, tugas sebagai Presiden FAM merupakan tanggungjawab besar kerana rakyat mengharapkan perubahan yang mampu mengangkat kualiti bola sepak di persada antarabangsa.

“Sebelum ini PBNP ada menyua­rakan perkara ini kepada saya dan pada mulanya saya menolak kerana merasakan keadaan tidak sesuai tetapi selepas itu mereka mahu mencalonkan saya, saya kata nak calonkan tidak menjadi masalah dan saya berterima kasih kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di atas kepercayaan ini.

“Bukan Pahang sahaja, ada beberapa negeri lain turut menyatakan sokongan tetapi saya perlu berjumpa dengan ahli gabungan lain bagi melihat sokongan mereka, sekiranya tidak begitu kuat, saya fikir lebih baik tidak perlu (bertan­ding).

“Saya akan maklumkan pendirian saya sama ada akan bertan­ding atau sebaliknya dalam tempoh terdekat... mungkin selepas puasa, kena banyak buat solat istikharah selepas ini,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Abdul Azim berkata, seandainya dipilih menjadi Presiden FAM, ba­nyak perkara akan dilakukannya termasuk penstrukturan semula badan induk bola sepak negara itu selain memastikan program pembangunan peringkat akar umbi termasuk di negeri-negeri berjalan dengan baik.

Kedudukan pemain import di dalam pasukan juga akan diberikan perhatian bagi mengelakkan Malaysia daripada menjadi seperti England dan akan memperkasakan bola sepak wanita, skuad bawah 16 dan 19 tahun.

“Mungkin ramai akan membandingkan saya dengan Hamidin dari segi pengalaman tetapi bagi saya sukan ada sesuatu yang boleh dipelajari tetapi pengurusan yang baik memerlukan pengalaman serta pasukan yang berkualiti.

“Sebagai contoh, saya pernah menjadi pengerusi syarikat balak sebelum ini tetapi mereka tidak pernah bertanya sama ada saya ada pengetahuan mengenai balak atau tidak.

“Bagi saya, sekiranya pentadbiran sesebuah pasukan itu berjalan dengan baik, keputusan positif akan diraih, sama seperti kita mengendalikan syarikat-syarikat korporat,” katanya.