Abdul Azim yang merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberitahu, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu memberi tumpuan kepada organisasi lain melibatkan dirinya.

“Isnin ini saya akan menghantar borang pencalonan kepada FAM dan akan menyatakan bahawa saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan itu.

“Banyak lagi perkara lain yang perlu saya berikan tumpuan kerana saya berada di dalam OCM dan ISN (Institut Sukan Negara), jadi lebih baik saya buat perkara-perkara yang berguna,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa masih terus berteka-teki terhadap pendiriannya bagi merebut jawatan No.1 badan induk sukan bola sepak negara itu.

Beliau hanya akan menyatakan pendiriannya pada 14 Jun ini iaitu pada hari terakhir pengesahan pencalonan.

FAM sebelum ini mengesahkan hanya tiga nama dicalonkan bagi mengisi jawatan presiden baharunya.

Tiga nama tersebut ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Abdul Azim dan Annuar sendiri.

Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Abdul Azim daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.