Apakah nasibnya selepas perlawanan yang akan berlangsung pada 28 Mac itu? Apakah dia akan dikekalkan oleh barisan pemimpin baharu FAM?

“Jika mereka (pucuk pimpinan baharu FAM) memikirkan seseorang harus ditukar, kita harus menerima kerana bagi saya yang penting adalah kepentingan negara harus diletakkan pada tahap paling tinggi.

“Kalau saya harus keluar atau pun beredar di bawah pucuk pimpinan baharu, saya harus terima dan yang penting kita melakukan proses yang betul,” katanya kepada pemberita hari ini apabila ditanya mengenai masa depannya bersama skuad negara selepas 25 Mac nanti.

Jurulatih dari Melaka itu berada di sini untuk mengikuti kursus kejurulatihan bersama Queens Park Rangers (QPR) di akademi mereka di Harlington di sini.

Kim Swee juga percaya, sesiapa pun yang memimpin FAM kelak pasti mempunyai misi dan visi tersendiri dalam memajukan bola sepak negara.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa bertemu dua pemenang program Siri Jelajah Klinik AirAsia-QPR iaitu Mohammad Alif Amzar Mohd. Hashim dan Kengo Lee yang dinobatkan pemain terbaik jelajah tersebut yang diadakan di Pulau Pinang tahun lalu.

Kim Swee berada di QPR untuk berguru dengan kelab Liga Kejuaraan England itu selama sebulan bermula pada 7 Februari hingga 8 Mac ini bagi membantunya membentuk pasukan kebangsaan menjelang kelayakan Piala Asia 2019.

Pemergian beliau ditaja sepenuhnya oleh penaja rasmi QPR, AirAsia menerusi usaha pemilik kelab yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Kim Swee ke sini bersama penolong jurulatih, Brad Maloney untuk menimba pengalaman dan pendedahan dari segi latihan serta persediaan pasukan utama QPR kendalian, Ian Holloway dan barisan jurulatihnya.