Beraksi di posisi tengah, Guardiola yang pada ketika itu berusia 34 tahun pada 2005, telah berhubung dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris, termasuk Wigan yang pada waktu itu diterajui oleh Paul Jewell.

Legenda Barcelona, Guardiola turut mengadakan rundingan bersama pengurus City pada ketika itu, Stuart Pearce, tetapi akhirnya menerima tawaran lebih lumayan di Qatar sebelum berpindah ke sebuah kelab Mexico.

Guardiola yang kini bergelar pengurus City dan masih mensasarkan empat trofi pada pertandingan utama musim ini, berpeluang mengharungi pengalaman di kelab yang pernah ditolaknya iaitu Wigan.

“Yeah, ia berlaku berbelas tahun yang lalu. Tetapi ia tidak mencukupi! Itulah hakikatnya. Saya kini sudah berusia, dan terlalu tua untuk kembali ke sini sebagai pemain bola sepak. Saya pernah cuba datang ke sini untuk bermain dalam bola sepak di England, namun, saya gagal berbuat demikian.

“Situasi yang sama berlaku sewaktu saya datang ke Manchester City, dengan Stuart Pearce sebagai pengurus pasukan. Mereka sangat bijak kerana saya tidak bagus sebenarnya. Wigan berminat dengan saya, tetapi saya tidak memilih menyertai kelab itu. Ia cuma tidak berlaku, itu sahaja,” kata Guardiola.

Jewell pula mengingati peristiwa tersebut dengan cara berbeza apabila mendakwa dalam temubual baru-baru ini, dia telah mengemukakan tawaran kepada Guardiola dan menjangkakan lelaki itu akan menyertai pasukannya, tetapi sebaliknya menerima panggilan telefon daripada ejen pemain berkenaan yang menyatakan mereka menerima tawaran lumayan dari Qatar. - AFP