Malaysia kalah 0-2 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Kejohanan Konfedersi Bola Sepak Asia (AFC) B-16 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang ditunda ke pagi hari ini kerana hujan semalam, sekali gus menutup peluang mereka untuk layak ke Piala Dunia Bawah-17 (B-17) di Peru pada 2019 selepas menamatkan kempen di kedudukan terakhir kumpulan.

Untuk layak ke Peru, yang merupakan sasaran ditetapkan oleh Teong Kim, Malaysia perlu mara hingga sekurang-kurang­nya ke peringkat separuh akhir.

Teong Kim, 55, berkata walaupun gagal ke Peru namun menjelaskan sasaran jangka panjang NFDP adalah untuk mencungkil bakat pemain bagi mewakili skuad kebangsaan pada masa depan.

“Saya adalah calon paling sesuai. Anda fikir kami ada buat silap? Saya hanya boleh melakukan beberapa perkara kerana badan induk (Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu me­lakukan sesuatu terhadap bola sepak negara.

“Kalau dinilai kepada sasaran jangka masa pendek memang keputusan yang diperoleh tidak bagus tetapi ini adalah program pembangunan. Nilai berdasarkan persembahan mereka. Kita perlu mulakan lebih awal dan banyak pelaburan perlu dilakukan.

“Ini percubaan pertama. Apa yang patut kita buat sekarang? Adakah wajar kita berhenti setakat di sini? Kita perlu teruskan program ini sehingga berjaya. Tidak boleh buat sekali dan apabila gagal terus berhenti,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Malaysia dan Jepun memerlukan kemenangan untuk ke suku akhir dan pasukan Negara Matahari Terbit itu yang jelas lebih dominan. Jepun mendahului menerusi Shoji Toyama pada minit ke-37 manakala Hikaru Naruoka menutup peluang skuad negara untuk melakukan kebangkitan dramatik apabila menjaringkan gol kedua pada waktu kecederaan.

Dengan keputusan itu Malaysia menamatkan kempen di anak tangga tercorot Kumpulan A manakala Jepun muncul juara kumpulan diikuti Tajikistan yang menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan di Arena UM.

Dalam pada itu, Teong Kim berkata NFDP berada di landasan yang tepat walaupun skuadnya gagal ke Peru selepas menyaksikan persembahan dan semangat juang yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

“Keputusan tidak positif tetapi dari segi cara mereka bermain bola sepak, NFDP di landasan yang betul. Mungkin saya salah tetapi saya fikir saya betul. Di Bayern Munich, mereka melabur jutaan euro untuk satu musim bagi program pembangunan. Adakalanya ada pemain tidak diserapkan ke dalam kesebelasan utama.

“Program pembangunan bukan jaminan untuk pemain menang sesuatu kejohanan. Ini semua adalah pelaburan. Jika tidak mula sekarang bila lagi? Saya bersama Bayern Munich selama 12 tahun jadi saya tahu apa yang saya cakap,” katanya lagi.