Bekas Timbalan Presiden FAM itu berkata, disiasat oleh SPRM tidak termasuk dalam tiga syarat yang telah digariskan oleh badan induk bola sepak negara itu bagi menyekat mana-mana calon untuk bertanding jawatan Presiden FAM tersebut.

Menurutnya, tiga syarat yang melarang calon daripada bertanding ialah individu berkenaan diisytiharkan bankrap, pernah menerima hukuman penjara lima tahun dan didakwa di mahkamah.

“Saya masih boleh bertanding. Namun, tidak semestinya saya kena bertanding. Kita (Annuar) ini orang kecil sahaja.

“Cuma yang saya risau adalah apabila semua tidak mahu bertanding, maka jawatan yang patut diisi tiba-tiba kosong," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai sama ada ingin meneruskan atau menarik diri daripada pencalonan kerusi No. 1 badan induk bola sepak negara itu ekoran siasatan penyelewengan dan salah guna kuasa yang membabitkan dirinya sebagai Pengerusi Mara.

Pada Selasa lalu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada proses siasatan membabitkan isu penajaan PMB serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

SPRM sebelum ini mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan Annuar.