Bagaimanapun tidak semua berpeluang mengenali Almarhum secara lebih dekat, dan Datuk Jamal Nasir Ismail antara individu bertuah kerana begitu dekat ‘di hati’ Sultan Ahmad yang disifatkan telah memberi pengaruh besar dalam hidupnya.

Berkongsi keperibadian Almarhum yang terkenal dengan sikap pemurah dan penyayang, bekas pemain pertahanan yang membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 itu berkata, jika bukan kerana Sultan Ahmad beliau tidak akan berada di tahap sekarang.

“Kalau bukan kerana Almarhum, saya tidak akan bermain bola sepak. Dulu, semasa berumur 15 tahun saya bermain untuk Kelantan, namun disebabkan saya patah tangan ketika bermain, ayah melarang saya untuk bermain bola sepak.

“Apabila Almarhum mendapat tahu, Almarhum panggil saya dan ayah untuk menghadap. Pada mulanya dia ingatkan nama saya Jamal bin Nasir tetapi Jamal Nasir bin Ismail dan semasa perjumpaan tersebut, Almarhum terkejut kerana mendapat tahu saya adalah anak kepada salah seorang daripada rakan sekolahnya.

“Sejak daripada pertemuan itu, Almarhum memberi jaminan kepada ayah saya bahawa kebajikan saya akan dijaga. Almarhum juga ingin menaja saya menyambung pelajaran keluar negara namun keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya tidak begitu baik kerana saya sibuk dengan bola sepak.

“Almarhum bantu saya untuk mendapatkan pekerjaan malah menaja saya pergi ke Jerman pada 1981 untuk membuat lesen kejurulatihan kelas A, dan sebab itu sepanjang bergelar pemain, saya terima banyak tawaran daripada pasukan lain namun saya tetap setia dengan Pahang kerana Almarhum

“Saya tidak tahu Almarhum tolong saya sebab ayah saya atau sebab bakat saya, walau apa pun, jasa Almarhum terhadap saya sangat banyak,” katanya yang amat sedih sebaik sahaja menerima berita kemangkatan Sultan Ahmad Shah.