Ketua Polisnya, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, sehingga kini tiada laporan polis diterima pihaknya terhadap indvidu berkenaan oleh mana-mana pihak.

“Kalau ada laporan dibuat, kita akan siasat secara terperinci dan tentukan sesiapa yang terlibat (melakukan kesalahan jenayah) akan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirim kepada wartawan melalui Whatapp di sini, hari ini.

Semalam, polis diminta menyiasat Ahmad Amizal Shaifit kerana didakwa telah menipu kontrak melibatkan seramai 18 orang pemain Perlis Northern Lions II musim ini, dalam satu majlis tahun lepas.

Perkara itu didedahkan Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, yang memberitahu, para pemain diminta menandatangani kontrak sedangkan Ahmad Amizal Shaifit tidak berbuat demikian.

Katanya, perkara tersebut hanya diketahui mereka selepas segala-galanya terbongkar baru-baru ini.

Sebelum itu, warganet yang terdiri daripada para penyokong PFA menggesa Ahmad Amizal Shaifit agar meletak jawatan atas pelbagai masalah melanda pasukan itu.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019. - UTUSAN ONLINE