Bagaimanapun beliau menegaskan, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan jika pemain percaya kepada diri sendiri, selain memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang dikutip dalam tiga perlawanan menentang pasukan Arab pada saingan Kumpulan C.

“Jika hendak dibandingkan Malaysia dengan Korea Selatan, mereka bukan sahaja ada satu atau dua pemain berkualiti tetapi majoriti boleh bermain dengan sistem yang diinginkan.

“Pendedahan yang cukup baik buat pemain Malaysia selepas menentang tiga pasukan dari negara Arab. Saya fikir, jika kita tidak sertai kejohanan ini kita mungkin tidak mendapat peluang untuk menguji mereka.

“Penting juga untuk kita mempelajari sesuatu daripada kejohanan ini dan mencapai keputusan positif, malah pemain perlu percaya yang mereka boleh melakukannya,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan hari ini.

Korea Selatan yang turun dengan reputasi naib juara 2016, muncul juara Kumpulan D selepas mengalahkan Australia 3-2 di Stadium Kunshan, sebentar tadi.

Selepas mendahului selesa 3-0 menerusi dua jaringan Lee Keun-ho (minit ke-18 dan 65) serta gol daripada Han Seung-gyu pada minit ke-44, Korea mendedahkan kelemahan mereka menuju penghujung permainan apabila membenarkan Australia mengejar dengan dua gol.

Nick Cowburn mencemaskan skuad bimbingan Kim Bong-gil apabila merapatkan jurang pada minit ke-72, sebelum Trent Buhagiar menambah gol kedua, empat minit kemudian. Kebangkitan yang cuba dilakukan Australia bagaimanapun terlalu lambat, tetapi ia cukup untuk memberi info berguna kepada Malaysia bagi menghadapi aksi, Sabtu ini.

Dua gol yang diledak Keun-ho juga membuktikan dia antara pemain yang perlu diberi perhatian kerana berkongsi kedudukan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini bersama Almoez Ali dari Qatar masing-masing dengan tiga gol.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Bong-gil mengakui, pasukannya kurang tajam dalam dua perlawanan terdahulu dan kejayaan menembusi gawang Australia tiga kali cukup menggembirakannya.

“Dalam dua perlawanan terdahulu, kami kurang tajam ketika menyerang tetapi hari ini kami berjaya meledak tiga gol, jadi saya sangat gembira.

“Bagaimanapun, pemain kami jelas kepenatan secara fizikal, jadi kami melepaskan dua gol pada separuh masa kedua, namun saya tetap bangga dengan mereka kerana berjaya mengikut arahan dengan baik.

“Selepas kurang keyakinan dalam perlawanan sebelum ini, saya menyeru mereka agar bermain dengan lebih berkeyakinan dan aktif di atas padang,” kata Bong-gil yang dipetik dalam laman web AFC.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee mewakili barisan kejurulatihan mengucapkan takziah kepada juruanalisis video pasukan, Ahmad Hilmi Abdul Latif selepas kehilangan bapa mertua, Nik Mahmud Nik Mustafa yang meninggal dunia di Hospital Kota Bahru pada usia 86 tahun akibat jangkitan kuman di paru-paru. - UTUSAN ONLINE

STATISTIK PERINGKAT KUMPULAN

Penjaring terbanyak : Almoez Ali (Qatar), Lee Keun-ho (Korea Selatan) 3 gol

Jaringan terbesar : Palestin (6 gol)

Paling kurang dibolosi : Qatar, Uzbekistan, Jepun, Iraq (1 gol)

Kemenangan terbesar : Thailand 1 Palestin 5 (Kumpulan B)

Rekod kemenangan bersih : Qatar, Jepun

Paling mencuri tumpuan : Malaysia (layak ke suku akhir dalam penampilan pertama)