Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh mengakui hampir keseluruhan pemainnya masih keletihan dan situasi itu jelas dapat dilihat ketika mereka menghadapi Felda United dalam kempen Liga Super baru-baru ini.

“Saya harap pemain-pemain tidak lepaskan peluang untuk mendapatkan tempat dalam perlawanan final. Saya lihat, semua pemain pun memandang ke hadapan untuk mendapatkan tempat ke final.

“Rasa letih harus dilupakan kalau mahu memenangi perlawanan. Saya harap beraksi di tempat sendiri akan beri kelebihan kepada pemain-pemain yang keletihan,” katanya di sini hari ini.

Selepas menyingkirkan juara tahun lalu Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi agregat 4-3 dalam suku akhir kedua Piala FA di Johor Bahru pada Ahad lalu, Pahang melayan pula kunjungan Felda United di Stadium Darul Makmur tiga hari kemudian dalam kempen liga yang berakhir seri 1-1.

Dalam keadaan masih keletihan, mereka perlu pula berhadapan de­ngan Negeri Sembilan dalam separuh akhir pertama Piala FA di Kuantan malam esok.

Dollah meminta anak buahnya untuk kekal fokus kepada perlawanan menentang Negeri Sembilan walaupun akan beraksi tanpa penyerang dari Gambia, Mohamadou Sumareh yang digantung satu perlawanan.