Vingada bagaimanapun berkata, bagi mencari kemenangan, perkara utama yang perlu dilakukan pemain adalah membolosi gawang lawan, dan tugas mencari gol tidak akan digalas oleh pe­nyerang semata-mata.

“Kami bermain baik dalam tiga perlawanan sebelum ini dan sudah bertambah baik sekarang, namun kelemahan ketara yang pasukan adalah ketiadaan penyudah.

“Bagaimanapun saya tidak mahu tugas itu digalas pe­nyerang semata-mata, saya percaya semua pemain adalah penjaring gol terbaik.

“Sebagai contoh, Safiq Rahim (pemain tengah) terbukti seorang penyerang berbisa buat kelab dan negara, jadi semua pemain harus memberi sepenuh usaha dari awal hingga akhir,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pertemuan menentang Hong Kong adalah aksi keempat Harimau Malaya di bawah Vingada.

Dalam perlawanan pertama pada 13 Jun lalu, Malaysia tewas tipis 1-2 kepada Lebanon pada kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin.

Skuad Harimau Malaya kemudian tumpas 1-2 kepada Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam dua aksi persahabatan.

“Persembahan kami menentang Myanmar adalah baik, (tetapi) saya percaya kami boleh me­ningkat.

“Kadang-kadang kita bermain untuk keputusan, bukan persembahan semata-mata. Saya percaya kami boleh membuat langkah besar dan boleh menang kerana ha­nya kemenangan berada dalam fikiran kami,” katanya.

Pengendali dari Portugal itu juga percaya, moral pemain ber­ada di tahap terbaik walaupun sedar mereka perlu menang jika mahu mence­rahkan laluan ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Vingada juga tidak gusar de­ngan kekuatan lawan yang akan diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi.

“Saya tidak kisah mengenai perkara itu. Kami menghormati mereka sebagai satu pasukan, bukannya pemain secara individu.

“Dengan kualiti yang kita miliki sekarang, saya percaya kami boleh menang, namun itu bukan tugas mudah kerana tiada perlawanan yang mudah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hong Kong, Kim Pan-Gon bimbang terhadap strategi serangan balas agresif dan kawalan ketat yang mungkin dilakukan Malaysia.

“Kami sedang cuba mentransformasi pemain untuk menjadi pasukan pasukan lebih proaktif dan mengasak.

“Kami akan banyak melakukan serangan dan cuba menguasai perlawanan, kami perlu merancang dengan teliti untuk membolosi pertahanan ketat Malaysia,” katanya.