Spurs terpaksa membayar harga mahal ketika menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam selepas Alli terpaksa meninggalkan padang lebih awal dalam keadaan kesakitan.

Dia mengikuti jejak Harry Kane yang kini berehat panjang akibat kecederaan.

Jika Kane dijangka pulih daripada kecederaan buku lali pada Mac, Alli mungkin terpaksa berehat beberapa minggu, sekali gus menambah parah jentera serangan Tottenham yang turut kehila­ngan Son Heung-min yang ber­aksi untuk Korea Selatan dalam Piala Asia.

Pochettino mengakui, kece­deraan hamstring Alli kelihatan tidak bagus, dan ia memberi kesan kepada Spurs yang bakal menentang Chelsea dalam separuh akhir kedua Piala Liga, Khamis ini, diikuti menentang Crystal Palace di pusingan keempat Piala FA pada Ahad.

Kane dan Alli juga dijangka terlepas perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund pada 13 Februari.

“Kami perlu mengawasi keadaan Dele dalam tempoh beberapa hari tetapi hamstring adalah bahagian yang anda perlu tangani dengan berhati-hati atau kecederaan mampu menjadi lebih buruk.

“Ketika ini, keadaannya nampak tidak bagus, namun kita tunggu laporan penuh perubatan,” kata Pochettino.

Biarpun berdepan krisis kecederaan, Pochettino bagaima­napun tidak berminat membeli pemain baharu dalam masa terdekat. – AGENSI