Belgium menang perlawanan di Saint Petersburg itu menerusi jaringan Thomas Meunier dan Eden Hazard sekali gus menghalang England, yang merupakan juara 1966, daripada mencatatkan penamat terbaik mereka dalam Piala Dunia di negara orang.

Walau bagaimanapun, Kane berpeluang untuk meraih anugerah Kasut Emas selepas menjaringkan enam gol, yang dilakukan dalam tiga perlawanan terawal.

Penyerang tersebut bagaimanapun gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir England, juga tidak mampu menyempurnakan walaupun satu percubaan tepat dalam perlawanan berkenaan, namun Southgate tetap mempertahankan Kane selepas tewas kepada Belgium.

“Hari ini merupakan perlawanan ketujuh dalam tempoh masa pendek ini, dan kami memerlukan fizikal dan emosi yang hebat untuk sekurang-kurangnya berdepan pasukan berpengalaman dalam pertandingan ini.

“Adalah satu kesalahan untuk anda menghakimi pemain menerusi perlawanan hari ini kerana tenaga mereka semakin berkurang. Saya fikir dia telah memimpin pasukan dengan sangat baik, dia telah mengetuai menerusi budaya yang kami cuba ciptakan.

“Walaupun kami boleh bercakap tentang laluan yang kami dapat lebih selesa ke separuh akhir, namun kami (pasukan lalu) juga mendapat laluan hampir serupa sebelum ini, tetapi tidak sampai ke tahap yang kami capai sekarang.

“Saya sangat bangga dengan pemain. Kesemuanya. Mereka harus berbangga dengan diri mereka sendiri kerana berupaya mencapai tahap yang sama tinggi dari segi prestasi kejohanan.

“Bermakna, misi England pergi ke luar negara untuk kejohanan ini telah dicapai,” katanya. – AGENSI