Skuad The Fighters yang menduduki tangga ketiga dalam Liga Super 2017 sebaliknya akan beraksi dalam Liga Perdana pada musim 2018 selepas gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit pada tarikh yang ditetapkan, iaitu punca utama lesen tidak dikeluarkan kepada mereka.

“Adakah setiap keputusan yang dibuat perlu diputar belit supaya nampak seperti ia adalah untuk menganiayai sesuatu pihak supaya segalanya menyebelahi JDT (Johor Darul Ta’zim)?

“Cara pemikiran ini adalah lebih untuk menutup kesalahan sendiri dengan menuding jari. Bila pula kita nak terima kelemahan, baiki kesalahan dan terus maju?,” kata Kevin dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, FMLLP tidak boleh menutup mata atau ‘memberi peluang’ kepada mana-mana kelab supaya mereka dapat setanding dengan negara jiran yang tegas terhadap pelesenan kelab.

“Sebagai contoh, dua pasukan Divisyen 2 Liga Thailand telah diturunkan ke Divisyen 4 kerana gagal mendapatkan pelesenan kelab. Tinggalkan semua pemikiran yang negatif supaya bola sepak kita mampu maju ke hadapan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE