City memiliki kelebihan untuk mara ke suku akhir minggu ini, menjelang timbal balik kedua peringkat 16 terbaik menentang Schalke yang menyaksikan anak-anak buah Guardiola mendahului 3-2 dalam perlawanan pertama di laman lawan.

Namun, Guardiola percaya juara Liga Perdana Inggeris itu masih ketinggalan di belakang beberapa pasukan pencabar pada pertandingan peringkat benua itu, yang memiliki sejarah dan rekod lebih baik di pentas Eropah.

“Saya rasa untuk membandingkan kami dengan pasukan-pasukan itu, dengan hanya satu trofi ia tidak mengubah apa-apa, kerana kami masih lagi remaja pada pertandingan ini. Itu yang saya rasakan.

“Kami mungkin mencatat kemenangan dan mengorak selangkah lagi ke depan. Anda memerlukan 20 atau 30 tahun. Sudah tentu kami tidak boleh menafikan, kejayaan mengorak langkah ke peringkat akhir akan membantu pasukan mengorak setapak ke depan.

“Ini bukan alasan. Kami mahu menang. Kami telah bekerja keras. Jalan terbaik ialah cuba berasakan tekanan seperti ini. Jika kami gagal mara ke peringkat seterusnya, kami berpendapat ia seperti tiada apa yang berlaku kerana sejarah kami telah menunjukkan jalannya. Anda perlu bermimpi dan meletakkan sasaran setinggi mungkin.

“Tetapi kami perlu terima, ada pasukan yang turut memiliki pemikiran sama dengan bakat yang cukup ramai. Kami mahu bersaing menentang pasukan terbaik. Kami telah bercakap banyak kali kepada para pemain tentang keinginan untuk bersaing dengan yang terbaik di Eropah,” kata Guardiola. - AGENSI