Menurut Afandi, FAM kini hanya menunggu surat rasmi daripada badan bola sepak dunia itu untuk mengetahui butiran hukuman dan bentuk rayuan yang boleh dikemukakan.

Gara-gara tindakan liar penyokong Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi pada 8 September lalu, badan bola sepak negara itu didenda 40,000 Swiss franc (RM180,000) dan diberi amaran keras.

Malah, skuad kebangsaan turut menanggung akibat daripada perbuatan penyokong selepas kemenangan 3-0 diberi kepada Arab Saudi.

Harimau Malaya juga terpaksa berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November ini dalam stadium kosong.

“Kami (FAM) sememangnya mahu mengemukakan rayuan terhadap FIFA, bagaimanapun kami perlu memohon untuk mendapatkan perincian hukuman yang dikenakan terhadap FAM.

“Apabila sudah dapatkan perincian tersebut baru boleh tentukan bentuk rayuan yang mahu dibuat.

“Saya sudah meminta sekretariat menghantar surat kepada FIFA dan ia akan dilakukan dalam tempoh 10 hari.

“Prosedur FIFA memang ada membenarkan setiap pihak yang dikenakan hukuman boleh membuat rayuan jadi kami akan melakukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

FAM dipertanggungjawabkan kerana kegagalan mereka mengawal penyokong yang melakukan kekecohan dalam perlawanan di Stadium Shah Alam dengan bertindak membakar suar, mercun serta membaling kerusi.

Mereka didapati melanggar artikel 6 perenggan 5 Peraturan Piala Dunia FIFA 2018, artikel 56, artikel 65, 67 perenggan 1 dan artikel 67 perenggan 3 di bawah kod Tatater­tib FIFA serta artikel 4 perenggan 2, artikel 29 perenggan 1 dan artikel 2 di bawah akta Peraturan-peraturan Keselamatan Stadium FIFA.

FAM sebelum ini pernah didenda RM43,173 selepas penyokong bertindak membakar suar dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Mac 2014.

Malah, mereka juga terpaksa membayar denda yang besar RM151,108 apabila segelintir penyokong Harimau Malaya bertindak liar dengan menyerang peminat ­Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF, Disember lalu.