Reds mencipta jurang tujuh mata di depan juara bertahan itu, selepas terus mempamerkan persembahan cemerlang dengan meraih kemenangan dalam semua pertemuan sepanjang musim perayaan, setakat ini.

Kemenangan berturut-turut Liverpool, membolehkan mereka memintas City yang ditimpa kemelut prestasi dan ini bermakna anak-anak buah Klopp kini menjadi pilihan untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris.

Namun, untuk perlawanan berikut, Reds bakal berdepan tugasan paling berat musim ini, apabila mereka bertandang ke Etihad. Menjelang pertemuan itu, Klopp sejak awal lagi memaklumkan para pemainnya untuk meneruskan kecemerlangan, musim ini, dan tidak memikirkan tentang jurang mata.

Dia juga sedar tentang tanggungjawab yang bakal diharungi pasukannya dan tidak mahu para pemain berfikir mereka berupaya melakar kemenangan ke atas City.

“Kami sentiasa dahagakan kemenangan. Kami tidak fikirkan tentang jurang, tidak sesekali. Apa yang kami fikirkan ialah 54 mata, satu pungutan yang luar biasa. Ia sesuatu yang pelik. Apa yang boleh kami lakukan ialah bermain seperti biasa, mendapatkan kembali kecergasan dan bersedia menghadapi perlawanan.

“Kami semua tahu, City adalah sebuah pasukan hebat dan kami perlu bermain di laman lawan. Siapa yang pergi ke sana dan berfikir mereka mungkin akan menang? Tiada pasukan di dunia ini, malah, juga bukan kami. Jadi, kami perlu ke sana dan bekerja keras bagi mendapatkan keputusan,” katanya kepada laman web rasmi kelab, Liverpoolfc.com.

Sebelum City tewas kepada Crystal Palace dalam aksi terakhir di laman sendiri, Guardiola hanya pernah kalah dalam dua perlawanan di Etihad sejak dia menyertai kelab itu. City yakin mereka mampu merapatkan jurang kepada empat mata dengan Liverpool.

“Liverpool mungkin pasukan terbaik di dunia ketika ini. Tetapi amat penting untuk kami mencatat kemenangan. Jurang yang wujud memang besar, tetapi mereka bertandang ke laman kami,” tegasnya. – AGENSI