Mourinho didenda 50,000 pound (RM321,000) serta diberi amaran untuk dikenakan hukuman yang sama selepas didapati mengeluarkan kenyataan bahawa pengadil perlawanan takut untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukannya ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Chelsea tumpas 1-3 kepada Southampton di laman sendiri.

“...saya gembira kerana saya tidak perlu memakai tag elektronik. Saya fikir jumlah denda 50,000 pound (RM321,000) yang dikenakan kepada saya pada masa sekarang satu penghinaan. Saya juga beranggapan kebarangkalian untuk dilarang daripada berada di stadium sebanyak satu perlawanan sebagai sesuatu yang amat menakjubkan,” sindir Mourinho.

FA dalam kenyataannya berkata bahawa larangan ke stadium ke atas Mourinho akan berkuat kuasa sekiranya dia me­lakukan kesalahan sama dalam tempoh 12 bulan.

Mourinho menyelar badan induk bola sepak tersebut sewaktu majlis pelancaran buku baharunya apabila dia berkata tidak mungkin dia akan menamatkan kariernya di Chelsea ekoran tuntutan permainan moden.

Ketika ditanya berapa lama lagi dia mahu berkhidmat sebagai jurulatih, Mourinho berkata: “Sesuatu yang sukar untuk diperkatakan namun...saya mungkin mensasarkan lagi 15 (tahun), saya sudah menjadi jurulatih selama 15 tahun, mungkin tamatkan pada usia 67 tahun. Mungkin kemudian, sekiranya saya mampu namun kebiasaannya saya akan cakap lagi 15 (tahun).

“Bolehkah saya bertahan lagi 15 tahun di Chelsea? Saya tidak fikir pun, saya tidak fikir bola sepak moden membenarkan ini berlaku jadi saya tidak akan menamatkan karier saya bersama Chelsea, saya mahu tapi saya fikir mustahil,” katanya lagi.

Bos Chelsea itu telah melontarkan kritikannya terhadap FA kerana tidak mengenakan sebarang hukuman ke atas Arsene Wenger selepas pengurus Arsenal itu menggelar pe­ngadil perlawanan Mike Dean lemah dan naif ketika The Gunners tumpas 0-2 kepada The Blues dalam perlawanan liga bulan lalu.

Wenger turut terlepas daripada sebarang hukuman apabila dia menolak Mourinho ke kawasan teknikal pada Oktober tahun lalu.

“Takut kos 50,000 pound (RM312,000). Lemah dan naif - anda boleh melakukannya. Kita boleh menolak orang ke kawasan teknikal. Kita boleh, tiada masalah,” sindir Mourinho.

Dalam pada itu, Chelsea yang akan menerima kunjungan Aston Villa hari ini perlu bangkit daripada kekalahan lalu berikutan kedua-dua pasukan tersebut kini sedang bergelut dengan prestasi masing-masing apabila menghuni tangga bawahan liga.

“Satu situasi pelik untuk Chelsea apabila berada di kedudukan yang salah dalam liga dan keba­nyakan daripada kami berdepan dengan pengalaman pertama berada di kedudukan bawahan. Sekarang kami tahu bagaimana rasanya dan kami bencikannya.

“Di Chelsea, kami sentiasa mahu berada di tempat teratas EPL, berjuang untuk memenangi Liga Juara-juara dan mengambil bahagian dalam semua kejohanan,” katanya lagi.

Chelsea memulakan musim mereka dengan aksi longlai dan kini berada di tempat ke-16 liga selepas lapan perlawanan, ke­tinggalan 10 mata di belakang pendahulu Manchester City. – REUTERS