Kata Kim Swee, anak-anak buahnya menunjukkan keberanian ketika mengejutkan Arab Saudi 1-0 untuk muncul naib juara Kumpulan C di belakang Iraq yang mengalahkan Jordan 1-0 dalam satu lagi perlawanan.

Katanya lagi, aksi di Stadium Kunshan itu juga membuktikan bola sepak Malaysia masih mempunyai masa depan yang cerah dan pasukannya bersedia menghadapi cabaran lebih besar di suku akhir, biarpun tidak diberi harapan pada awal penampilan.

“Keputusan yang baik dan secara keseluruhan pemain menunjukkan keberanian untuk berjuang melepasi peringkat kumpulan. Saya tidak mahu bercakap mengenai persembahan pemain pada malam ini kerana untuk perlawanan penting seperti ini keputusan menjadi keutamaan saya.

“Saya berpuas hati dengan keputusan yang dicatat dan ini merupakan detik bersejarah buat bola sepak negara kita dan juga pencapaian yang membanggakan untuk bola sepak tempatan.

“Kejayaan pada malam ini menunjukkan Malaysia boleh bersaing di peringkat tertinggi dan saya fikir kami sudah tidak kalahkan Arab Saudi untuk tempoh yang lama dan kami juga berjaya mengikat Jordan,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut di sini hari ini.

Pemain tengah Danial Amier Norhisham diangkat sebagai wira negara selepas meledak gol tunggal pada minit ke-28 untuk membawa pasukan negara layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama.

Bagaimanapun skuad Kim Swee utuh bertahan sepanjang babak kedua dengan serangan bertali arus daripada pihak lawan yang buntu membolosi kubu pertahanan negara.

Malaysia muncul naib juara Kumpulan C dengan empat mata dan mereka akan bertemu juara Kumpulan D sama ada Korea Selatan, Vietnam atau Australia dalam aksi suku akhir pada 20 Januari ini. - UTUSAN ONLINE