Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu meluahkan rasa kecewanya apabila sukan bola sepak dicampur adukkan dengan faham politik sehingga mendatangkan kerugian kepada sukan No. 1 itu.

“Jika TM berasa MFL menipu, mudah sahaja, bawa pengerusi (MFL) ke mahkamah. Ini yang berlaku apabila anda mencampur adukkan politik dengan sukan.

“Dahulu tiada masalah, tandatangan (kontrak) untuk lapan tahun. Datang bos baharu, habis semua. Bola sepak jadi mangsa,” katanya menerusi akaun Twitter.

Jumaat lalu, MFL menamatkan perjanjian dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu kerana kegagalan mereka membuat pembayaran untuk tahun 2019.

Bagaimanapun, MFL tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan rundingan dengan beberapa prospek penaja baharu dan keputusan akhir dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu hingga sebulan dari sekarang. - UTUSAN ONLINE