Dengan tempat kedua liga menjadi pertaruhannya, usaha perlu dijanakan Mourinho untuk mengekang pemain antarabangsa Mesir itu daripada menjaringkan gol dalam memastikan Liverpool pulang dengan tangan kosong.

Tugas berat yang terpaksa dipikul ini diakui pemain tengah Red Devils, Nemanja Matic terutama selepas persembahan kurang meyakinkan ketika bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2 ke atas Crystal Palace Selasa lalu.

“Kami kena akui bahawa kami perlu bermain lebih baik daripada itu. Kami kena lebih mantap (berbanding ketika bertemu Palace) jika mahu menang kerana Liverpool adalah pasukan yang memiliki kualiti yang hebat,” kata Matic yang menjaringkan gol kemenangan United tempoh hari.

Apa yang dimaksudkan Matic ialah jentera serangan Liverpool yang sudah berhasil menjaringkan 20 gol dalam tujuh perlawanan terbaharu dan ini satu cabaran buat pertahanan United untuk mengekangnya.

Selain Salah, gandingan mantapnya bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane bakal membuatkan Mourinho tidak tidur malam untuk memikirkan cara terbaik menyekat gabungan pemain berkenaan yang telah menjaringkan 68 gol musim ini.

Lebih meresahkan United, keputusan Klopp merehatkan ketiga-tiga penyerang itu dalam beberapa perlawanan terbaharu menunjukkan Liverpool benar-benar fokus untuk perlawanan ini.

Pertahanan baharu Liverpool, Virgil van Dijk juga menyesuaikan diri dengan cepat, selain kecemerlangan Loris Karius di pintu gawang, Reds. – AFP