Meskipun menang namun Liverpool lebih banyak me­nguasai permainan di Old Trafford itu dan gol tunggal The Reds diperoleh menerusi ja­ringan sendiri Eric Bailly pada babak kedua, sekali gus menjadikan perlawanan tersebut semakin panas sebelum wisel penamat ditiupkan.

Terikat dengan corak permainan konservatif untuk mendapatkan mata kemenangan, seperti biasa Mourinho meletakkan ‘bas’ di hadapan pintu gol pasukannya dan apabila ditanya mengenai perkara tersebut jurulatih dari Portugal itu berkata dia tidak peduli asalkan tiga mata menjadi milik United.

“Jika orang tidak fikir kami layak untuk menang, saya tidak peduli.

“Saya mengalami sedikit kepenatan dan selepas ini kami ada satu lagi perlawanan pada Selasa ini (menentang Sevilla dalam Liga Juara-Juara). Saya tidak peduli apa orang cakap. Pemain gembira dan saya pun,” katanya.

Mourinho turut menegaskan kemenangan itu diperoleh hasil kebijaksanaan United memanfaatkan peluang pada babak pertama dan dia gembira de­ngan cara pemainnya menyerap tekanan yang diperoleh dalam separuh masa kedua.

“Kita boleh bahagikan pe­ngusaan babak. United pada babak pertama dan Liverpool separuh masa kedua namun pada pendapat saya separuh masa pertama kami ada gol. Pada babak kedua, pada pendapat saya, dan mungkin orang di studio mempunyai pandangan yang berbeza - Liverpool menguasai dengan bola manakala United menguasai tanpa bola.

“Menentang Liverpool, jika anda bermain dengan teruk ketika memiliki bola anda akan berada dalam bahaya. Pasukan kami sentiasa dalam kawalan. Sepakan bola mati, tendangan penjuru, situasi berbahaya kami dapat menguasainya jadi saya fikir kami layak,” kata bekas pe­ngendali Porto itu lagi.

Sementara itu, bos Liverpool, Jurgen Klopp mendakwa kegagalan pengadil, Craig Pawson memberi sepakan penalti kepada The Reds selepas pemain te­ngah United, Marouane Fellaini mengasari Sadio Mane dalam 10 minit terakhir permainan.

“Jelas kelihatan kekasaran Fellaini terhadap Mane wajar diberikan penalti, dalam situasi seperti ini anda perlu membuat keputusan yang tepat,” kata Mourinho.

Meskipun kecewa dengan keputusan pengadil namun Klopp mengakui Liverpool perlu menyalahkan diri sendiri selepas sistem pertahanan mereka lemah untuk mengatasi kedua-dua jaringan Marcus Rashford.

“Kami perlu bertahan dengan lebih baik untuk situasi seperti ini. Anda boleh tewas kepada ja­ringan tandukan atau mencabar Romelu Lukaku namun ada perbezaan dalam hal ini dan kami perlu mengatasinya,” katanya lagi. – AFP