Kelantan dibelasah 4-0 oleh Se­langor manakala Kedah berjaya menewaskan Pahang 3-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D di Stadium TLDM Lumut semalam.

“Kalau dilihat daripada keputusan Kelantan tewas kepada Selangor memang memberi motivasi kepada kami tetapi saya tidak melihat perkara tersebut sebagai kelebihan untuk kami.

“Ini kerana Kelantan pasti akan bangkit setelah gagal mengutip mata daripada perlawanan pertama. Saya tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

“Kami perlu mencari gol awal dan cuba mematikan perlawanan secepat mungkin. Itu cara terbaik untuk kami memenangi perlawanan esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Pahang, Victor ber­puas hati dengan persembahan dipamerkan oleh anak-anak buahnya terutama dari segi menterjemahkan taktikal dalam corak permainan.

Ketika ditanya pemain yang tidak dapat diturunkan pada pertemuan esok, jurulatih berusia 42 tahun itu enggan mendedahkan sebarang nama.

“Ada dua pemain utama saya ce­dera tetapi saya tidak boleh beritahu siapa sebab saya dapati ada pasukan daripada kumpulan lain datang menyaksikan perlawanan kami untuk mengetahui taktikal dan corak permainan Kedah,” katanya lagi.