Pemain pertahanan, Dominic Tan berkata, pengendali berusia 48 tahun dari Melaka itu sering melontarkan kata-kata semangat yang menjadi kunci kebangkitan skuad negara pada saingan tersebut sehingga berjaya melakar kejutan mara ke suku akhir.

“Segalanya tampak berbeza ketika kami beraksi pada kempen Kejuaraan AFC B-23 2018 kerana setiap negara yang bertanding seolah-olah mempunyai satu kelebihan berbanding kami. Jadi pada aksi pertama berdepan Iraq kami sedikit terkejut, namun berjaya bangkit pada dua aksi seterusnya.

“Beliau (Kim Swee) sentiasa percaya kemampuan kami dan sering mengatakan tiada perbezaan antara kami dan pasukan lawan. Kata-kata itulah menjadikan kami lebih berkeyakinan serta percaya pada diri sendiri dan akhirnya membuktikan kami mampu menyaingi mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kempen kejuaraan tersebut, Dominic mengakui ia satu kejohanan yang sukar, namun berpuas hati apabila sekurang-kurangnya berjaya mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Kempen kejuaraan ini satu tahap berbeza buat Malaysia tetapi kita sudah capai apa kita inginkan. Memang saya berasa sedikit sedih apabila dibolosi pada saat akhir perlawanan tetapi itulah bola sepak. Kadang-kadang kita menang dan kadang-kadang kalah,” katanya.

Skuad negara memulakan kempen Kejuaraan AFC B-23 2018 dengan langkah kiri selepas diaibkan Iraq 1-4 pada aksi pembukaan sebelum bangkit mengikat Jordan 1-1, diikuti kemenangan bersejarah 1-0 ke atas Arab Saudi.

Pada aksi suku akhir berdepan finalis 2016, Korea Selatan, skuad negara menyajikan persembahan terpuji apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian, N.Thanabalan selepas ketinggalan 0-1 seawal 15 saat permainan bermula.

Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk terus melakar kejutan pada kempen sulung skuad negara pada kejohanan itu, lebur apabila Han Seung-Gyu menyumbat gol kemenangan Korea Selatan pada minit ke-85 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. - BERNAMA