Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kebanyakan persatuan bola sepak negari ataupun persatuan sukan lain juga diterajui oleh ahli politik.

Khairy berkata, tidak seharusnya timbul isu sekiranya Presiden FAM disandang oleh ahli politik kerana yang lebih penting adalah individu itu mempunyai kebolehan atau pengaruh untuk menjadi presiden yang berkesan.

“Itu pandangan sahaja bahawa ahli politik tidak elok jadi presiden, tapi kalau tengok persatuan bola sepak negeri pun, banyak negeri, presiden atau ketua bola sepak negeri itu adalah menteri besar.

“Jadi samalah, penglibatannya (ahli politik). Bukan isunya orang politik, kerabat diraja atau apa tetapi kita tengok kepada individu itu sendiri, sama ada dia ada kapasiti atau pengaruh untuk jadi presiden yang efektif,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sesi Pelajar Baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Bersama Menteri Mentor di sini hari ini.

Sebelum ini tokoh bola sepak negara Datuk Peter Velappan berkata empat individu yang telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM tidak layak kerana mereka terdiri daripada kerabat diraja dan ahli politik.

Velappan, yang merupakan bekas Setiausaha Agung Kongfederasi Bola Sepak Asia (AFC), berkata, FAM sepatutnya diterajui oleh individu di luar lingkungan dua golo­ngan itu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan merebut jawatan yang akan ditinggalkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.

Sebaliknya, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak termasuk persatuan bola sepak negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai aspirasi mereka berhubung hala tuju bola sepak negara.

Beliau juga akan mengambil kira saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bertanding merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

“Masih ada dua minggu untuk saya memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak dan saya akan mengambil kira nasihat Datuk Seri Ahmad Zahid itu.

“Saya akan membuat perbincangan dengan persatuan-persatuan khususnya yang telah mencalonkan saya sebelum membuat keputusan akhir,” jelasnya.