Laporan sama turut meminta siasatan dijalankan terhadap Timbalan Presiden PFA yang kini menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan kerana didakwa menyeleweng wang para pemain.

Laporan kedua-kedua kejadian tersebut yang berlaku tahun lalu itu, dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Bekas Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman, 30, yang mewakili rakan-rakannya memberitahu, kontrak yang dinyatakan itu melibatkan seramai 18 orang pemain pasukan itu musim 2019, dalam satu majlis di sini, pada Oktober tahun lepas.

Menurutnya, dalam majlis itu, kesemua pemain diarah menandatangani kontrak berkenaan yang mengandungi terma pembayaran gaji musim ini bersama tunggakan musim lepas, selama enam bulan.

"Namun selepas pelbagai kemelut yang berlaku, Presiden PFA bukan sahaja tidak membayar gaji (seperti terma kontrak) tetapi juga mendedahkan bahawa kontrak itu tidak sah kerana beliau (Ahmad Amizal Shaifit) tidak menandatanganinya ketika dalam satu perjumpaan di Kangar, 25 Januari lalu.

"Justeru, kami merasakan ditipu kerana sepanjang tempoh itu (Disember hingga Januari), kami turun latihan dan tidak berhijrah ke pasukan lain kerana terikat 'kontrak' tersebut tetapi sebenarnya tidak wujud," katanya ketika ditemui.

Ezzrul Ikmanizar seterusnya memberitahu, laporan terhadap Mohd. Abdul Karim Khan pula adalah berkaitan kutipan wang berjumlah lebih RM11,000 tahun lalu daripada para pemain, kononnya untuk membayar barisan kejurulatihan.

"Pada mulanya kami tidak bersetuju kerana pemain juga tidak menerima gaji tetapi akhirnya terpaksa mengikut juga arahan itu.

"Tetapi apa yang mengejutkan apabila semakan mendapati barisan kejurulatihan itu tidak pula menerima sebarang bayaran," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut yang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri.

Sebelum ini, Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. mengalu-alukan laporan polis bagi membolehkan pasukan keselamatan itu memulakan siasatan terhadap Ahmad Amizal Shaifit.

Sebelum ini, warganet yang terdiri daripada para penyokong PFA menggesa Ahmad Amizal Shaifit agar segera meletak jawatan atas pelbagai masalah yang melanda pasukan itu.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019. - UTUSAN ONLINE