Lebih 5,000 peminat tempatan menonton sesi latihan santai yang diadakan di Stadium Yug-Sport, berdekatan dengan hotel penginapan pasukan Brazil di Black Sea, Sochi.

Hari ini adalah cuti umum di Rusia, dan peluang tersebut digunakan sepenuhnya oleh peminat bola sepak untuk melihat pasukan kegemaran mereka menjalani latihan sebelum Piala Dunia memulakan kempen, Khamis ini.

Seorang peminat muda berjaya melepasi kawalan keselamatan dan menghampiri sekumpulan pemain Brazil, termasuk Neymar untuk bergambar sebelum berlari keluar.

Bagaimanapun kebanyakan peminat lebih gemar menyanyi, terutama melaungkan nama Neymar yang tiba bersama rakan-rakan sepasukannya di Rusia beberapa jam selepas mengalahkan Austria 3-0 di Vienna, semalam.

Pemain skuad Selecao juga meraikan ulang tahun ke-26 bintang tengah Barcelona, Philippe Coutinho di depan penyokong apabila melumur tepung dan telur ke atas kepala pemain itu.

Brazil akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Switzerland di Rostov-on-Don, Ahad ini sebelum bertemu Costa Rica dan Serbia. - AFP