Tiga pemain yang digugurkan ialah penjaga gol Amierul Hakimi Awang dari Terengganu FC II dan Sean Eugene Selvaraj (Selangor) serta Danial Ashraf Abdullah (Kelantan) akibat kecederaan.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan berangkat ke Mokpo, Ahad ini bagi menjalani latihan selain menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Kemudian, Kim Swee bakal menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai akhir skuad 23 pemain ke Kejuaraan B-23 AFC 2018 apabila mereka terbang dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

“Selepas mengambil kira semua faktor, satu keputusan yang amat sukar untuk saya lakukan.

“Namun saya terpaksa membuat keputusan untuk menggugurkan Amierul Hakimi dan Sean Eugene bagi melengkapkan senarai 26 pemain ke Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Kim Swee menggugurkan penyerang Kedah, Syafiq Ahmad daripada senarai 30 pemain yang dipanggil atas faktor kesuntukan masa memandangkan pemain berkenaan hanya dapat melapor diri lewat kerana melangsungkan perkahwinan.

Skuad B-23 kebangsaan akan tiba di Changshu pada 6 Januari untuk menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan (13 Januari) sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan (16 Januari).

Jika skuad B-23 kebangsaan berjaya muncul dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari 2018.-UTUSAN ONLINE