Pegawai Media UiTM FC, Pekan Ramli berkata, seramai 19 pemain baharu dan bekas penyerang import Perlis, Bakary Dao dari Ivory Coast akan meneruskan misi untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia.

Katanya, kombinasi pemain yang mewakili skuad itu bagi musim 2015 adalah hasil gabu-ngan pemain-pemain terbaik dalam Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Komuniti Selangor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Sasaran utama musim 2015 masih lagi untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Perdana musim akan datang.

“Pada masa sama mahu menjadi sebuah pasukan yang majoritinya dibarisi penuntut universiti untuk beraksi dalam Piala Malaysia buat kali pertama.

“Hanya lapan pemain lama UiTM FC dikekalkan dan kebanyakannya adalah pemain pertahanan, manakala khidmat pemain import musim lalu, Abdi Kassim Sadallah dari Nigeria turut dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

UiTM FC juga akan diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain Harimau Muda C iaitu penjaga gol, Muhammad Azam Jais, dan pemain pertahanan Mohd. Adib Zainudin.

Pasukan kendalian Azuan Zain itu turut mendapat khidmat tiga bekas pemain Sime Darby iaitu Mohd. Hafiz Abu Bakar, Syed Ariff Syed Mohammad Uzir serta Ahmad Haziq Ahmad Puad.

Dalam pada itu, beberapa pemain yang melanjutkan pelajaran ke UiTM turut diberikan peluang beraksi bersama pasukan itu.

Antara pemain tersebut Muhammad Farid Azmi (Piala Presiden Felda United), Ibrahim Aziz (PKNS), Mohamed Faridzuan Yusuf (Piala Presiden Perak), Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim (Melaka United) dan Raslam Khah Abd. Rashid.

Muhammad Nursalam Zainal Abidin yang sebelum ini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II dan Mohd. Hidayat Amaruddin (Perak) pada musim lalu kembali semula ke pangkuan pasukan itu bagi mengharungi musim 2015.