HAMIDIN MOHD. AMIN
HAMIDIN MOHD. AMIN

Begitu pun Hamidin memberi­tahu beliau perlu meneliti setiap permohonan yang diterima dan menjangkakan Setiausaha Agung FAM yang baharu akan diumumkan ketika Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai ini.

“Anda kena faham, macam yang saya katakan sebelum ini, saya memang tidak memikirkan siapa yang akan menggantikan saya (sebagai Setia­usaha Agung) sekiranya saya memenangi jawatan Presiden FAM ini. Tambahan pula, Tan Sri Annuar (Musa) baru sahaja menarik diri daripada bertanding.

“Memang ramai yang memohon dan menunjukkan minat mereka terhadap jawatan tersebut. Bagaimanapun, sudah tentu saya mahu memilih orang yang boleh bekerja dengan saya dan barisan Exco FAM untuk melonjakkan lagi nama bola sepak Malaysia.

“Mungkin saya akan meng­umumkan Setiausaha Agung yang baharu pada 14 Julai ini atau selepas saya meneliti kesemua permohonan. Setakat semalam, seramai 12 orang telah menyatakan minat mereka terhadap jawatan tersebut.

“Ada dalam kalangan 12 calon itu yang bertugas di luar negara namun kesemuanya adalah warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hamidin memenangi jawatan Presiden FAM tanpa pertandi­ngan setelah pencabar tunggalnya iaitu bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar membuat keputusan menarik diri.

Annuar, yang mengumumkan keputusan itu menerusi Facebook semalam, berkata beliau membuat keputusan itu selepas mendapat nasihat daripada bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan beberapa presiden persatuan bola sepak negeri. Beliau juga memaklumkan mahu memberi fokus kepada karier politiknya sebagai Ahli Parlimen Ketereh.

Hamidin yang teruja dengan peranan baharunya di FAM berkata beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak malah menyifatkan bola sepak negara tidak akan dapat dimajukan sekiranya semua beban diletakkan di atas bahunya seorang.

“Saya menghormati keputusan Tan Sri Annuar yang memutuskan tidak mahu bertanding. Secara jujurnya, ini amanah besar yang diterima daripada penyokong dan rakyat kerana saya perlu memikul tugas yang berat.

“Bagaimanapun, jika presiden sahaja yang buat kerja, bola sepak kita tidak akan ke mana. Saya memerlukan sokongan daripada kerajaan, penyokong, media dan semua pihak untuk bantu melon­jakkan bola sepak negara,” katanya.