Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac berkata, suasana penuh tekanan di Bukit Jalil tidak langsung membimbangkan pemainnya.

“Ia tidak langsung menimbulkan kebimbangan kerana pemain profesional perlu mampu mempamerkan prestasi baik tidak kira sama ada bermain di hadapan 100,000 orang atau sekadar beberapa ratus orang.

“Kami perlu melalui dua perlawanan dan sekiranya kami membuat persiapan dengan baik dan bermain seperti dirancang, kami tidak akan menghadapi sebarang masalah,” katanya seperti yang dipetik media tempatan di sini hari ini.

Skuad Gajah Perang yang melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B akan menjadi tuan rumah kepada Malaysia dalam separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember.

Sementara itu, penyerang Thailand, Supachai Chaided, 19, meledak satu gol dan dinobat sebagai pemain terbaik ketika pasukannya menewaskan Singapura 3-0 semalam menegaskan, keadaan bising Stadium Bukit Jalil yang bakal dibanjiri penonton tuan rumah langsung tidak meresahkannya.

“Saya tidak rasa gementar. Kami pernah bemain di Malaysia dan tahu mereka ada ramai peminat setiap kali bertandang ke sana.

“Kami hanya fokus kepada permainan sendiri dan tidak perlu berasa wujudnya tekanan tambahan berikutan sorakan bergemuruh oleh penonton tempatan,” kata pemain Buriram United itu.

Pertahanan Thailand berasal dari Wales, Mika Chunuonsee pula menjangka perlawanan bakal berlangsung sengit tetapi tetap yakin dia dan rakan sepasukan akan meraih kejayaan pada akhir pertemuan separuh akhir dua pusingan itu.

“Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Mereka (Malaysia) memang pasukan yang bagus. Mereka telah beraksi dengan amat baik hingga layak mara ke pusingan seterusnya.

“Saya berpendapat, sekiranya kami pergi ke sana bersama-sama rancangan permainan yang disusun rapi dan taktik yang betul, kami akan dapat membawa pulang kemenangan,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Filipina yang dibimbing bekas jurulatih England, Sven-Goran Eriksson akan menerima kunjungan Vietnam. - BERNAMA