Jurulatih negara, Mohd. Isa Mohd. Noor berkata, walaupun skuadnya tidak diletakkan harapan tinggi untuk memenangi emas, mereka tetap memasang impian besar itu terutama dalam acara berpasukan.

“Acara berpasukan lebih cerah untuk kita menang emas berbanding individu memandangkan Thailand terlalu handal dalam sukan ini kerana mereka adalah juara dunia.

“Namun, kalau Thailand hanya hantar barisan atlet baharu, tidak mustahil peluang kita lebih cerah,” katanya pada sidang akhbar menjelang Sukan Para ASEAN Ke-9 di sini.

Boccia adalah sukan seperti boling padang tetapi dimainkan di dalam stadium tertutup oleh atlet para yang berkerusi roda.

Sebanyak tujuh acara dipertandingkan dengan skuad negara menyenaraikan 11 atlet untuk mencapai sasaran awal iaitu menaiki podium.

Pada temasya dua tahun lalu di Singapura, skuad boccia negara membawa pulang dua perak dan satu gangsa dengan Thailand menyapu bersih kesemua tujuh emas yang dipertanding­kan.

Ini kali keempat boccia dipertandingkan dalam Sukan Para ASEAN. Kali pertama ketika di Korat, Thailand pada 2007, diikuti di Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

Sementara itu, pengurus pasukan, Tunku Maziah Tunku Mukhtar berkata, kesemua 11 atlet yang akan beraksi dalam tujuh acara yang dipertandingkan sudah berada dalam persiapan rapi.

Tujuh acara itu ialah acara individu BC1, individu BC2, berpasukan BC1/BC2, individu BC3, berpasangan BC3, individu BC4 dan berpasangqn BC4.

Atlet boccia BC2 (Ce­lebral Palsy) negara, Lee Chee Hoong berkata, mereka menjalani latihan dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bagi persediaan Sukan Para ASEAN kali ini.

“Mungkin saya boleh cipta sejarah kali ini. Kita sudah ada strategi untuk menundukkan Thailand,” katanya.