NUR DHABITAH SABRI
NUR DHABITAH SABRI

Ibu bapanya tidak dapat hadir memberikan sokongan sewaktu dia bertanding di pentas terbesar berikutan komitmen kerja dan harga tiket penerbangan yang mahal.

Namun, atlet yang lebih dikenali sebagai Bitah itu berkata, walaupun sedih, doa ibu bapanya tetap mengiringi perjuangannya dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

“Memang saya sedih tetapi semangat mereka ada bersama saya di Rio. Yang pasti perjuangan tetap diteruskan dan saya berharap untuk membuat sesuatu yang istimewa bagi membalas segala pengorbanan mereka yang menyokong saya sehingga ke tahap ini,” katanya.

Nur Dhabitah akan beraksi dalam peringkat saringan bersama ratu terjun negara Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform pada pukul 3 petang Rabu ini (2 pagi Khamis waktu Malaysia).

Dia dan Pandelela akan bertanding bersama 26 peserta lain termasuk peserta pilihan yang juga juara dunia 2013, Si Yajie dari China.

Ahad lalu, Nur Dhabitah terlepas peluang untuk merangkul pingat Olimpik bersama Cheong Jun Hoong dalam disiplin 3m papan anjal seirama walaupun menduduki tempat ketiga selepas tiga terjunan.

Nasib mereka berubah dalam dua terjunan selepas itu yang kurang menjadi sekali gus menamatkan persaingan di kedudukan kelima.

“Memang semua orang mahukan pingat, tetapi bukanlah mudah. Saya berjanji untuk memberikan aksi terbaik kerana temasya Olimpik adalah platform paling sesuai untuk saya membentuk diri sebagai atlet terjun yang hebat untuk Olimpik Tokyo 2020,” katanya. – UTUSAN