Namun, tentu ramai yang terkejut, dengan ketinggian 195 sentimeter, jejaka kelahiran Jamaica berusia 30 tahun itu sebelum mencipta sejarah di trek dikatakan bukanlah atlet sesuai untuk acara pecut 100 meter.

Percaya atau tidak, ketinggian dimiliki Bolt itu dianggap satu halangan bagi acara itu memandangkan saiz badan akan menentukan kuasa pe­cutan, satu elemen penting dalam menentukan kepantasan seseorang pelari pecut profesional.

Bagaimanapun, kekurangan itu sebenarnya telah menjadikan Bolt sebagai manusia terpantas di muka bumi sekurang-kurangnya sehingga dekad ini dan rekod Bolt masih belum dapat diatasi oleh sesiapa.

Apakah rahsia Bolt mengatasi halangan itu?

Selepas mencatat masa terpantas 9.56 saat bagi acara 100 meter dan 19.19 saat dalam acara 200 meter dalam satu kejohanan di Berlin, Jerman pada 2009, Bolt menjadi fenomena dalam perdebatan mengenai bagaimana dia boleh berlari begitu pantas walaupun mempunyai ketinggian yang luar biasa bagi seorang atlet larian pecut.

Menurut Pensyarah Biomekanik di Universiti Loughborough, London, Dr. Sam Allen, pelari pecut elit berkebolehan menjana daya kuasa otot yang tinggi bersesuaian dengan jisim badan mereka dalam masa yang sangat singkat ketika kaki mereka berada di atas trek.

Dalam satu temuramah yang disiarkan dalam laman web www.telegraph.co.uk, Allen berkata, mengikut logik, seseorang pelari pecut tentu sahaja mahu menggunakan kaki mereka sepantas boleh untuk berlari dengan laju dan kita boleh menganggap Bolt juga begitu.

Tetapi realitinya, seorang pelari pecut elit sebenarnya tidak menggunakan asas sedemikian untuk menjadi manusia terpantas. Mereka tidak menghayunkan langkah mereka lebih pantas daripada pelari biasa, sebaliknya menjadikan langkah mereka itu lebih berkuasa.

“Kajian menunjukkan pelari amatur sering mengambil antara 50 ke 55 langkah untuk melengkapkan larian pecut 100 meter. Dalam erti kata lain, mereka menggunakan lebih banyak langkah manakala pelari elit pula menggunakan sekitar 45 langkah sahaja.

“Tetapi atlet elit menghasilkan daya kuasa pecutan yang lebih tinggi dalam setiap langkah kerana mereka secara semulajadi mempunyai serat otot jenis pantas sehingga menyebabkan larian mereka terdorong ke hadapan dengan lebih laju.

“Pecutan terlalu pantas sehingga kaki mereka tidak terjejak di atas tanah, sebaliknya berlari di atas angin ,” kata Allen.

Katanya, kajian di Amerika Syarikat mendapati pada kelajuan tinggi, kaki pelari pecut elit biasanya akan menghabiskan masa 0.08 saat bersentuhan dengan tanah di awal setiap langkah pecutan berbanding 0.12 saat bagi seorang pelari amatur.

Tambah Allen, pelari pecut terpantas biasanya menggunakan 60 peratus masa pecutan di atas angin tanpa kakinya menjejak tanah, manakala atlet amatur menggunakan hanya 50 peratus masa untuk tujuan sama.

Mengenai ketinggian atlet pula, Allen berkata, biasanya atlet lari pecut elit mempunyai ketinggian tidak melebih 185 sentimeter.

Menurut bekas pelari pecut Great Britain, Craig Pickering, pada permulaan acara lumba lari 100 meter, seorang atlet perlu mengambil langkah lebih pendek bagi membolehkannya memecut tetapi Bolt tidak boleh berbuat demikian kerana ketinggiannya.

Jadi, pecutan Bolt menjadi lebih perlahan pada permulaan perlumbaan, tetapi apabila momentum lariannya mencapai tahap tertinggi selepas beberapa saat, Bolt mempunyai kelebihan berbanding pelari lain apabila langkahnya menjadi kurang, namun lebih pantas.

Menurut rekod, Bolt melengkapkan larian 100 meter dengan hanya 41 langkah, iaitu tiga atau empat langkah kurang berbanding pesaingnya.

Allen pula menambah, latihan yang baik boleh melahirkan pelari yang pantas, namun faktor semula jadi memberi kelebihan yang besar kepada seorang atlet pecut untuk dinobatkan sebagai manusia terpantas di dunia se­perti Bolt.