Bukan berniat memandang rendah terhadap pencapaian jaguh lempar cakera negara itu, sebaliknya ketua jurulatih olahraga kebangsaan Zainal Abas mahu Irfan berada di puncak sewaktu temasya dwi tahunan tersebut yang akan bermula di Kuala Lumpur pada pertengahan Ogos ini.

“Kita ada tempoh dua bulan lebih untuk Sukan SEA bermula, jadi kalau sekarang ini rekod demi rekod dia (Irfan) berjaya lakukan, kita khuatir graf dia nanti akan menurun.

“Kita kena tahu bahawa setiap atlet, apabila membuat latihan dia ada loading. Jadi setelah loading, atlet itu perlukan masa buat pemulihan sebelum dia melakukannya untuk berada di kemuncak,” katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan akhir Sukan SEA 2017, di sini baru-baru ini.

Irfan memperbaharui rekod kebangsaan hampir setiap tahun, dengan paling mencuri tumpuan adalah melakarnya dalam tempoh seminggu menerusi balingan sejauh 59.29 meter (m), 61.56m dan 62.55m di beberapa kejohanan olahraga sekitar Eropah pada Mei lalu.

Tambah Zainal, dia bagaimanapun tidak bimbang dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh jaguh kelahiran Negeri Sembilan itu kerana setiap atlet dipantau jurulatih mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sekarang, apa yang jurulatih lakukan adalah memberikannya sedikit lagi loading dalam latihan. Saya serahkan kepada jurulatih untuk merangka pelan untuknya.

“Saya yakin dia dapat mengekalkan pingat emas yang dimenanginya di Sukan SEA Singapura 2015,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Irfan berpeluang untuk menyertai Kejohanan Dunia di London pada 4 hingga 13 Ogos, Zainal berkata, ia agak sukar memandangkan tempoh masa semakin suntuk.

“Dia perlu melontar sejauh 65 meter ke atas untuk ke Kejohanan Dunia sebelum 23 Julai ini,” katanya.