Watson Nyambek tercedera otot paha ketika perlumbaan 200 meter sehingga terpaksa menarik diri daripada acara, 100 dan 4x100m malah Azmi Ibrahim turut terlepas gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kerana sekadar beroleh perak.

Mohd. Zaki Sadri, yang ketika Manila 1991 merangkul emas berganda lompat jauh dan lompat kijang malah berjaya mempertahankannya dalam Singapura 1993, kali ini terpaksa akur de­ngan dua perak sahaja dalam ke­dua-dua acara itu. Dominasinya dalam lompat jauh sejak Jakarta 1987 turut lebur.

Turut mendukacitakan ialah isu disiplin pelontar peluru, Petra Ghani yang memaksanya dihantar pulang ke tanah air oleh kontinjen negara lalu meninggalkan (Allahyarham) Nazar Rahim bersendirian melayari cabaran namun tetap berjaya meraih perak.

Yang membanggakan selaku penyumbang emas ialah M. Ramachandran (5,000 dan 10,000 meter), Nur Herman Majid (110m berpagar), Wong Tee Kui (baling tukul besi), Loo Kum Zee (lompat tinggi), Yazid Imran (rejam lem­bing) dan R. Mogan (10 kilo­meter jalan kaki) serta Anastasia Karen Raj (5 kilometer jalan kaki wanita).

Pemain-pemain biliard dan snuker sebaliknya tanpa di­sangka-sangka menampung kehila­ngan banyak emas negara de­ngan meraih enam emas, tiga pe­rak dan tiga gangsa iaitu separuh daripada 12 pingat yang ditawarkan kesemuanya.

Gimnasium Pang Suan Kaew menyaksikan kejayaan gemilang Moh Loon Hoong, Sam Chong, Liew Kit Fatt, Yeong Kien Fook, Ng Ann Seng dan Patrick Ooi antaranya menerusi acara 15 ball rotation, berpa­sukan, beregu, perseorangan dan English billiard.

Mereka bukan sahaja memperbaiki pencapaian dua emas, satu perak dan tiga gangsa di Singapura 1993 tetapi turut mengejutkan kuasa tradisi sukan itu di rantau Asia Tenggara, Thailand (dua emas) dan Filipina (satu emas).