Bibi Ramjani berkata, dia lega dapat melunaskan tunggakan tersebut yang merupakan salah satu dari janjinya sebelum dipilih mengepalai badan induk itu.

 "Apa yang boleh saya katakan setakat hari ini, tiada lagi tunggakan gaji barisan pemain dan pengurusan pasukan bagi tahun 2017.

 "Sebagai Presiden Kafa, saya sudah jalankan amanah dengan melunaskan gaji. Jadi saya minta pemain pula memberikan kemenangan pada pertemuan dengan PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Rabu ini," katanya kepada pemberita selepas menulaskan tunggakan gaji barisan pemain dan pengurusan pasukan Kelantan di sini hari ini.

 Difahamkan, usahawan batek tersebut telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

 Bibi Ramjani memberitahu, kemenangan ke atas PKNS FC amat penting buat peminat untuk melihat pasukan itu terus kekal dalam saingan Liga Super 2018.

 Kelantan kini berada di tangga ke-10  dengan 18 mata dalam carta Liga Super dan hanya dibezakan satu mata dengan Sarawak di tempat ke-11.

 Skuad kendalian Zahasmi Ismail itu perlu menang dengan PKNS FC jika tidak mahu tersingkir ke Liga Perdana 2018.-UTUSAN ONLINE