Ahmad Shapawi Ismail

Katanya, atlet dinasihatkan agar menggunakan cara paling selamat dan rutin biasa mereka untuk balik ke kampung masing-masing agar latihan dan persiapan yang mereka lakukan sebelum ini tidak sia-sia begitu sahaja.

“Nasihat saya, jaga keselamatan dan kesihatan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Jangan buat perkara pelik daripada kebiasaan. Kalau biasa balik kampung naik kereta, jangan naik motosikal pula.

“Kalau sudah biasa naik kapal terbang, jangan tiba-tiba tukar hendak naik kereta pula. Lagi satu, jaga pemakanan anda ketika seronok menyambut raya,” katanya dalam satu ama­nat khas yang ditujukan khas kepada atlet negara.

Shapawi yang berharap sangat agar atlet negara bebas daripada kemalangan jalan raya dan kecederaan yang tidak diduga pada Hari Raya Aidilfitri kali ini mahu atlet berpada-pada dalam menyambutnya memandangkan Sukan Asia sudah semakin hampir.

“Walaupun ada dua bulan lagi sebelum temasya itu berlangsung di Jakarta dan Palembang, sebarang insiden yang tidak diingini boleh menjejaskan peluang mereka untuk mewakili negara.

“Kalau sudah tidak cergas sepenuhnya, peluang kontinjen negara untuk meraih pingat juga terjejas,” tambah Shapawi yang turut mengakui senarai terakhir atlet ke Sukan Asia 2018 masih belum dimuktamadkan.

Jawatankuasa Pemilihan Sukan Asia 2018 dijadual bermesyuarat pada 30 Jun ini, yakni selepas Hari Raya Aidilfitri untuk menetapkan jumlah atlet yang layak dihantar ke temasya sukan terbesar di Asia yang diadakan empat tahun sekali itu.