Juara dunia keirin 2017 itu berharap, pelantikan tokoh muda seperti Syed Saddiq mampu membawa idea segar dalam membangunkan sukan tanahair.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Syed Saddiq dan Steven Sim Chee Keong.

“Diharap dengan pelantikan ini, mereka akan proaktif membawa sukan negara terus maju dan menjadi antara kuasa besar di Asia.

“Saya ada mengikuti perkembangan Syed Saddiq dan dapat melihat beliau seorang yang mempunyai pemikiran jauh dan mempunyai banyak idea segar.

“Saya harap dapat berjumpa beliau untuk berkongsi idea bagi memajukan sukan negara khususnya memantapkan lagi hala tuju sukan berbasikal negara.

“Walaupun usia beliau menjadi bahan kritikan namun kita harus beri peluang dan ruang kepadanya untuk membawa pembaharuan demi kemajuan sukan negara.

“Di samping itu, saya berharap mereka berdua dapat memupuk serta memperkembangkan lagi budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia agar lebih aktif dan sihat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Syed Saddiq yang bakal me­nginjak 26 tahun pada 6 Disember ini, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, sekali gus menjadikannya menteri termuda dalam sejarah pentadbiran Malaysia.

Ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong pula berkata, dia tidak sabar untuk bekerjasama dengan menteri baharu.

“Tahniah diucapkan kepada Syed Saddiq. Saya percaya arena sukan di negara ini akan berada di tahap tertinggi di bawah kepimpinannya,” kata juara terjun dunia itu.

Pelantikan Syed Saddiq turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyampaikan ucapan tahniah menerusi akaun Twitter beliau @Khairykj.

“Tahniah @SyedSaddiq atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Saya doakan saudara dapat membawa kejayaan yang lebih besar kepada @KBSMalaysia,” katanya dalam posting yang dimuatnaik hari ini.