Vogt berjaya mencatat masa keseluruhan terbaik, iaitu lapan jam 35 minit 46 saat, sekali gus mengekalkan Jersi Biru kejohanan yang dimenangi pada peringkat kedua semalam.

Pada perlumbaan peringkat ketiga dan terakhir itu, Vogt sampai di garisan penamat bersama-sama kelompok pelumba hadapan yang dimenangi pelumba Hengxiang Cycling, Wang Jaunyong dengan masa 2 jam 14 minit 48 saat.

Dalam saingan peringkat akhir itu, TSC turut melakar sejarah apabila menang berganda selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan pasukan terbaik kejohanan selain juara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 pada bulan lalu.

Vogt yang berasal dari Jerman ketika ditemui melahirkan perasaan gembira apabila kejohanan tersebut merupakan kejuaraan lumba basikal yang dimenangi di peringkat Asia pada tahun ini.

“Saya telah menyertai perlumbaan peringkat Asia sejak 2010 dan hanya menang antara lima terbaik, namun di Malaysia kali saya berasa sungguh bertuah.

“Oleh tiu, saya berbesar hati untuk datang lagi sini bagi mempertahankan jersi kejuaraan untuk edisi akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perlumbaan peringkat terakhir dari Kluang ke Johor Bahru itu, pemenang Jersi Putih sebagai Raja Pecut kekal milik pelumba XSpeed United, Ryan Roth; Jersi Merah (Raja Bukit) Mathew Zenovich daripada St. George Cycling, manakala Jersi Hitam bagi Pelumba Muda Terbaik kekal milik Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri (TSC).

Sementara itu, Pengurus TSC, Fairoz Izni Abd. Ghani bersyukur dapat mengekalkan momentum terbaik selepas memenangi LTdL dan TdIJ 2019.

“Untuk TdIJ ini, kami memang sasar untuk dapat menang jersi kejuaraan apabila saya membawa juara LTdL 2019, Benjamin Dybal untuk menguatkan pasukan,” katanya.

Bagi tahun ini, TSC merancang untuk menyertai perlumbaan di peringkat Asia untuk memgumpul mata bagi menjadi pasukan terbaik Asia. - UTUSAN ONLINE