Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mendedahkan, pelumba kelahiran Terengganu itu sebenarnya mengalami masalah jangkitan virus menjelang perlumbaan, sekali gus menjejaskan kesihatannya dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu di Hong Kong.

“Perkara ini disahkan oleh pasukan khidmat sokongan kita di sana, jadi dalam keadaan seperti itu kita tidak boleh nak jangka dia akan memberikan 100 peratus.

“Anggaplah ini satu pengalaman buat Azizul yang terpaksa berlumba dalam keadaan tak sihat, tetapi saya yakin dia mampu bangkit semula dengan mempamerkan prestasi terbaik dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.

“Saya tahu Azizul tak nak beri alasan (tentang kekalahannya), namun saya ada minta dia beritahu tentang masalah yang dihadapinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia Taekwondo Dunia di sini hari ini.

Jumaat lalu, pelumba berusia 30 tahun itu gagal mengekalkan jersi pelanginya selepas tersingkir seawal pusingan pertama keirin Kejohanan Dunia, yang menyaksikan pelumba Colombia, Fabian Hernando Puertas Zapata muncul juara.

Episod malang terus melanda jaguh yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu apabila dia ditunjukkan pula pintu keluar oleh pelumba Britain, Jack Carlin yang menewaskannya dalam saringan pertama pusingan 1/16 dalam acara keduanya, 200m pecut individu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik 2016 itu pernah mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai siri kejohanan Piala Dunia di Glasgow, Scotland pada November 2016 akibat masalah yang sama.

Azizul, selepas kegagalannya dalam dua acara yang disertainya di Apeldoorn telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia namun tidak memberitahu punca dia kelihatan tidak berada pada prestasi terbaik.

Menulis di Instgram, Azizul hanya berkata: “Saya sudah berjuang hingga ke akhir dan sudah melakukan di luar kemampuan sebenar saya. Saya juga tidak mahu memberikan alasan berhubung kekalahan itu melainkan faktor cuaca sejuk melampau dan jangkitan virus antara punca prestasi saya terjejas.
“Bagaimanapun, saya dapat merasakan kayuhan saya jauh lebih lemah berbanding prestasi ketika menyertai Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Malaysia, sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy enggan mengulas berhubung isu dua pemain negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang yang didakwa mengatur perlawanan, dengan memberitahu beliau tidak mahu melangkaui tugas Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Buat masa ini keputusan daripada sesi pendengaran masih belum BWF umumkan. Jadi tunggu sahaja kesemuanya selesai, dan kemudian saya akan berbincang dengan BAM tentang perkara selanjutnya,” katanya.