Pelumba berusia 29 tahun itu, yang diberi penghormatan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Ahad lalu untuk menjadi pelumba basikal pertama negara menguji trek tersebut turut menyifatkan, Velodrom Nasional antara yang terbaik di dunia.

“Sangat seronok. Trek yang cukup lancar walaupun belum dibersihkan sepenuhnya, masih ada habuk namun saya rasa trek ini agak pantas seperti Velodrom di Hong Kong.

“Saya uji sendiri selekoh. Kemudian saya cuba bermain di cerun selekoh untuk dapatkan momentum. Secara keseluruhan trek di sini terbaik. Dalam banyak-banyak trek yang saya pergi, boleh dikatakan kita mempunyai salah satu velodrom yang terbaik di dunia,” katanya selepas menguji velodrom itu di sini hari ini.

Velodrom yang menelan belanja hampir RM80 juta itu mampu menempatkan kira-kita 1,800 penonton, dengan menggunakan bahan jenis kayu siberian spruce pada trek sepanjang 250 meter dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Dalam masa sama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berharap agar Velodrom Nasional tidak menjadi ‘gajah putih’ selain perlu dirancakkan dengan pelbagai pertandingan termasuk menganjurkan Siri Piala Dunia atau Kejohanan Dunia.

“Dengan adanya velodrom ini, saya harap sukan berbasikal terutama trek dapat berkembang pesat. Ia sudah terbukti kita berada di tahap dunia setelah saya meraih gelaran.

“Malah, saya harap kita dapat cungkil banyak lagi pelumba baharu dan program pembangunan berbasikal. Mungkin satu hari nanti kita boleh anjurkan Siri Piala Dunia atau Kejohanan Dunia siapa tahu? Ia satu impak yang besar untuk negara kita,” katanya.