Menurut maklumat diterima, mereka dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda warna hitam jenis Toyota Hilux.

Kemalangan itu berkemungkinan memerlukan skuad lumba basikal lebuh raya para memikirkan semula jumlah sasaran pi­ngat emas mereka.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi di Kilometer 12.6 Latar menghala ke Selayang itu, empat pelumba daripada dua basikal ber­asingan terbabit dalam kemalangan tersebut ketika mereka sedang menjalani latihan intensif bersama tiga lagi pelumba sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung pada 17-23 September ini.

Pelumba para buta yang ce­dera itu adalah Mohd. Khairul Azwan Wahab, 25, manakala pilot yang patah kaki adalah Mohd. Nur Syafiq Suhaimi, 25.

Mohd. Nur Syafiq adalah pengiring kepada pelumba buta lain iaitu Mohd. Khairul Nizam Mohd. Ali, 19. Dia turut me­ngalami kecederaan di beberapa bahagian badan

Pilot kepada Khairul Azwan iaitu Mohd. Nor Ridzuan Zainal, 31, cedera di beberapa anggota badan selain disyaki cedera tulang belakang.

Sebagai rekod, acara basikal lebuh raya untuk sukan para menggandingkan dua pelumba bagi satu basikal tandem (dua tempat duduk) dengan seorang pelumba normal sebagai pemandu arah manakala seorang lagi yang berkayuh di belakang adalah pelumba para, kebiasaannya buta.

Turut mengalami kecederaan ringan adalah jurulatih skuad basikal lebuh raya para negara, Johari Nayan yang sedang mengiringi pelumba terbabit dari belakang ketika kejadian. Ke­semua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan awal dan pemeriksaan rapi selepas itu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, skuad lebuh raya para negara bakal berdepan masalah besar untuk mencari pengganti sesuai sekiranya mereka yang cedera gagal pulih dengan segera.

“Masa sudah suntuk untuk mencari pelumba pengganti sekarang ini. Bagaimanapun saya akan berbincang dengan jurulatih Johari untuk mengetahui keadaan sebenar pelumba kita.

“Selain itu kita juga terpaksa menunggu laporan perubatan sebelum membuat sebarang keputusan sama ada pelumba yang terbabit kemalangan kena menarik diri atau tidak daripada Sukan Para ASEAN,” katanya.

Buat masa ini katanya, pihak PKBM menyerahkan siasatan kepada pihak polis sepenuhnya termasuk melihat semula rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di lebuh raya berkenaan.