Mat Sport
 

Pada Mat, beliau sepatutnya hadir dan membantu meyakinkan Peruzzi tentang usaha-usaha yang telah dilakukan untuk membolehkan velodrom yang dibaik pulih itu dapat menjadi venue kepada acara basikal trek Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pada September ini.

Ini tidak. Tunjuk muka pun tidak sedangkan menjadi tanggungjawab wakil Menteri Besar untuk ada bersama bagi menge­tahui sama ada UCI berpuas hati atau tidak dengan 17 perkara yang perlu dipatuhi dan dipenuhi kontraktor dan pembina trek.

Yang hadir cuma Ketua Setia­usaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh serta pegawai-pegawai daripada agensi kerajaan berkaitan se­perti Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Majlis Sukan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, kontraktor dan pembina trek.

Adakah Exco Sukan Perak ini tidak dimaklumkan tentang pemeriksaan tersebut atau Howard Lee memang mahu melihat Velodrom Rakyat itu gagal mendapatkan Sijil Homologation yang diperlukan bagi melayakkannya menjadi venue untuk Sukma Perak?

Maklumlah masalah untuk mendapatkan status homologation ini bermula daripada peruntukan baik pulih berjumlah RM11 juta yang diluluskan Menteri Belia dan Sukan terdahulu Khairy Jamaluddin.

Perlu diingat! Ini membabitkan imej kerajaan negeri yang baharu dipilih rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu. Maka Yang Berhormat, tunjukkan kredibiliti anda sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dan buat kerja.

Mat harap sikap tidak peduli dan ambil berat Exco Sukan Perak ini tidak akan menjejaskan peluang Velodrom Rakyat yang dibina pada 1984 itu untuk mendapatkan status homologation iaitu proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibaik pulih itu menepati piawaian UCI.

Kini dengan keputusan UCI bakal diketahui dalam beberapa hari lagi, debaran kian dirasakan sama ada Velodrom Rakyat yang asal pembinaannya menggunakan derma orang ramai hasil inisiatif Tan Sri Darshan Singh iaitu bapa Amarjit sendiri akan menjadi Gajah Putih atau venue yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Mat dengar beberapa daripada 17 perkara masih gagal diperbaiki seperti diarahkan UCI tetapi mari sama-sama berdoa agar Velodrom Rakyat diluluskan dan boleh digunakan kembali.

Jika tidak, Amarjit yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak mungkin terpaksa keluar duit sendiri untuk memperbaiki lagi kekurangan yang ada hinggalah Velodrom Rakyat memperoleh Sijil Homologation.

Pada Mat, Amarjit memang wajar berkorban untuk menyelamatkan hasil usaha bertahun-tahun agar Velodrom Rakyat tidak le­nyap atau menjadi sia-sia begitu sahaja tanpa pembelaan.