Arahan tersebut dikeluarkan ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI di Beijing, China beberapa hari lalu selepas mendapati kontraktor pembinaan yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja baik pulih yang menelan belanja RM11 juta itu masih gagal mematuhi status homologation.

Homologation adalah proses mengesahkan semua spesifikasi yang dibina di Velodrom Rakyat menepati piawaian UCI.

Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan negeri Perak, UCI membuat keputusan itu selepas pegawainya dua kali datang tahun ini melakukan pemeriksaan ke atas velodrom pertama negara itu namun masalah sama kekal gagal diperbaiki oleh kontraktor berkenaan.

Arahan perobohan itu ternyata memberi tamparan hebat kepada kerajaan negeri memandangkan Perak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 tahun depan dengan Velodrom Rakyat yang struktur pembinaannya menggunakan kayu sepenuhnya bakal menjadi venue utama acara basikal trek yang semakin popular di negara ini.

“Kerajaan negeri amat kecewa dengan perkembangan ini kerana segala perbelanjaan yang dikeluarkan berjumlah RM11 juta hanya sia-sia begitu sahaja. Arahan UCI untuk merobohkan Velodrom Rakyat dan mengarahkannya dibina semula suatu tamparan hebat kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sendiri, jika ada duit sekali pun untuk membinanya semula, tidak pasti sama ada (Velodrom Rakyat) sempat disiapkan sebelum berlangsungnya Sukma tahun depan. Bayangkan apabila duit hendak bina semula pun belum tentu ada lagi.

“Kalau keadaan bertambah buruk dan masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, kemungkinan acara lumba basikal trek terpaksa digugurkan daripada Sukma 2018 oleh pihak penganjur,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.

Menurut sumber itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI, Datuk Amarjit Singh yang juga merupakan Presiden Persatuan Berbasikal Perak bagaimanapun dilaporkan sedang berusaha mencari jalan menyelesaikan status homologation itu.

Antaranya, kata sumber itu, ialah dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden UCI, David Lappartient di Aigle, Switzerland pada bulan ini juga dalam usaha menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Ini penting kerana status homologation tersebut adalah lesen utama kepada Velodrom Rakyat untuk menjadi gelanggang sebarang kejohanan kebangsaan dan antarabangsa, selain pengesahan jika ada rekod baharu dicipta akan diiktiraf oleh UCI,” tegas sumber itu.

Kerja membaik pulih Velodrom Rakyat mendapat dana berjumlah RM11 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan antara tujuannya adalah mengatasi masalah kerosakan pada struktur terutama trek kayu yang dibina pada 1984.

Velodrom Rakyat adalah velodrom pertama di negara ini yang dibina pada 1984 hasil sumbangan orang ramai.

Gelanggang itu pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991 (ACC 1991).