AMARJIT SINGH GILL
AMARJIT SINGH GILL

Pengiktirafan yang dimaksudkannya itu ialah dalam urusan memperoleh status homologation yang menetapkan velodrom tertua di Malaysia itu perlu meme­nuhi piawaian UCI.

“Setakat ini UCI belum membuat sebarang keputusan sama ada Velodrom Rakyat perlu dirobohkan atau tidak berikutan berdepan masalah mendapat status homologation itu.

“Bagaimanapun PKBM bersedia mendengar apa jua kehendak pegawai teknikal UCI untuk membolehkan velodrom ini diiktiraf dan layak menjadi venue kepada kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya kontraktor dan pembina trek dari Belanda juga bersedia melakukan apa sahaja dalam memenuhi status homologation itu,” katanya.

Amarjit yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Eksekutif UCI berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebagai respon kepada laporan Utusan Malaysia hari ini.

Sebagai rekod, pegawai teknikal UCI sudah dua kali melakukan pemeriksaan ke atas Velodrom Rakyat tahun ini namun agak pelik kerana badan dunia itu masih belum dapat memberikan status homologation yang diperlukan.

Dalam pada itu, Amarjit turut menafikan isu status homologation Velodrom Rakyat itu ada di­bincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan eksekutif UCI di China minggu lalu di mana beliau menghadirinya.

Bagaimanapun, tegasnya, pro­ses untuk mendapatkan status homologation itu masih berterusan.

Mengenai Sukan Malaysia (Sukma) yang diadakan tahun depan, Amarjit memberi jaminan isu homologation tidak akan menjejaskan acara basikal trek termasuk kemungkinan digugur daripada dipertandingkan.

“Dalam kes Sukma, hanya perlu mendapatkan kelulusan status homologation daripada PKBM sahaja dan bukannya UCI.

“Setakat ini apa yang saya tahu, trek dan kemudahan telah siap untuk digunakan kecuali peralatan catatan masa yang dijangka dipasang bulan depan,” kata Amar­jit yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA).