Sebaliknya, perasaan teruja dan `gian’ mengayuh basikal menuju ke garisan penamat bagi menguji ketahanan fizikal serta mental lebih menguasai para peserta.

Maka tidak hairanlah apabila rata-rata peserta, meskipun ada yang berjaya menamatkan sai­ngan sejauh 147 kilometer (km) dan tidak kurang juga yang hanya mampu bertahan setakat separuh jalan, namun kesemuanya mempamerkan aksi ter­baik mereka di se­panjang acara berlangsung.

Bermula seawal 7.30 pagi, edisi ke-11 JMFR ternyata bukan sekadar menarik penyertaan peserta dari dalam negara, malah turut menggamit kedatangan peserta antarabangsa dari negara seperti Indonesia, Jepun dan Singapura yang turut tidak mahu melepaskan peluang mempamerkan kehebatan masing-masing.

Seorang peserta, Abdul Rahman Ahmad, 32, berkata, dia amat berpuas hati dengan pe­nganjuran Janamanjung Fellowship Ride dan sememangnya menanti setiap kali acara tersebut diadakan.

“Penganjuran ini yang terbaik pernah saya sertai dan ia amat mencabar dengan laluan sejauh 147 km.

“Walaupun cuaca agak panas, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk menyudahkan kayuhan selama lima jam sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Affiq Irfan Fadzil, 26, pula berpendapat, penganjuran acara itu merupakan medan terbaik bagi mencungkil bakat baharu dalam acara berbasikal selain mengasah bakat pelumba sedia ada.

“Pengalaman ini sangat berharga. Selain dapat beraksi, saya juga mendapat ramai kenalan dan mengenali Manjung. Kayuhan pada kali ini amat mencabar kerana ada naik turun bukit, bagaimanapun ia satu pengalaman berharga,” katanya.

Bagi Mohd. Faizal Jamaluddin, 38, pengalaman menyertai acara kayuhan itu amat mencabar dan mengujakan kerana terpaksa meredah panas terik matahari di sepanjang laluan.

“Sebelum ini saya memang berkayuh tapi jarak yang dekat. Kali ini, walaupun jarak jauh dan cuaca panas terik namun saya dapat menghabiskan kayuhan hingga ke garisan penamat,” jelasnya.