Adiq Husainie meraih kemenangan setelah mencatat masa terpantas 3 jam 17 minit 12 saat dalam saingan yang bermula dari Lumut dan berakhir di Kuala Kurau, melibatkan perjalanan sejauh 145.3 kilometer.

Tempat kedua, dimenangi Ariya Phounsavath dari Thailand Continental Cycling Team, manakala perlumba berpe­ngalaman negara, Fauzan Lutfi (Polis Diraja Malaysia) ketiga.

“Strategi awal sebenarnya ingin memberi rakan sepasukan, Hariff Saleh menang di sini tetapi selepas berlumba kami terpaksa ubah ke plan ‘B’ memandangkan saya berpeluang untuk menang.

“Saya memang nak menang sebab belum pernah merasai­nya sejak menyertai JM 2009. Kali terakhir menang peringkat pun di Tour of Brunei pada 2011. Selepas itu saya sekadar nombor dua atau tiga.

“Tahun ini permulaan tak bagus. Le Tour de Langkawi 2017 saya terlepas ekoran kecede­raan lutut. Nak mula balik pun agak payah.

“Namun kejayaan hari ini membuktikan bahawa saya bukan pelumba tenggelam. Saya memang dahagakan kemenangan,” kata Adiq Husainie.

Pertarungan itu juga menyaksikan jersi kuning (pendahulu keseluruhan) bertukar tangan kepada pelumba Australia, Ryan Thomas dari Oliver’s Real Food Racing, yang turut memenangi jersi kelabu (pelumba muda terbaik).

Pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki mengekalkan jersi hijau (raja pecut), manakala Zawawi Azman dari Team Sapura Cycling jersi me­rah (pelumba terbaik Malaysia).