Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, selain itu mereka juga berhasrat untuk memenangi beberapa peringkat perlumbaan.

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi harapan penaja kami yang mahu melihat kejayaan lebih baik dicipta dalam LTdL 2017 nanti,” katanya selepas menerima tajaan RM100,00 daripada Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut UFL menaja barangan kelengkapan termasuk peralatan gimnasium untuk pasukan basikal profesional benua negara itu. Namun, jumlah penajaan kali ini jauh lebih besar berbanding hanya RM10,000 sahaja tahun lalu.

Ditanya, adakah pasukannya akan lemah tanpa Muhamad Adiq Husainie Othman yang dilaporkan cedera dan tidak akan mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia yang dimenangi tahun lalu, Farhan berkata keputusan muktamad belum lagi dibuat mengenai kedudukan Adiq ketika ini.

“Kita akan umumkan esok. Saya tidak mahu komen dahulu mengenai perkara itu. Biar pengurusan tertinggi TSG buat keputusan dahulu,” tegasnya.

Adiq menamatkan penantian Malaysia selama 21 tahun apabila menjadi pelumba tempatan pertama meraih gelaran itu dalam kejohanan tahun lalu.